Strategi menulis karangan Berformat Umum dalam Peperiksaan SPM
Oleh Cikgu Abdul Ghalib Yunus
Ada 4 perkara penting yang perlu diberikan perhatian oleh calon sebelum menulis karangan dalam peperiksaan terutamanya karangan yang berformat umum seperti karangan perbincangan, pendapat, huraian, fakta dan juga beberapa jenis karangan berformat khusus seperti rencana. Hal ini bertujuan supaya calon dapat menulis karangan yang dikehendaki oleh pemeriksa, iaitu karangan yang ditulis mestilah tepat dengan kehendak soalan dan format (T), menulis isi yang cukup serta huraian yang lengkap (I), mempamerkan penggunaan bahasa yang baik sama ada ejaan, tanda baca, kosa kata, istilah, frasa, ayat, dan sebagainya (B) serta menunjukkan kemapuan mengolah bahasa dengan baik (P).
Untuk memastikan kehendak pertama dipenuhi, iaitu calon dapat mentakrif soalan dengan tepat, calon mestilah mempunyai strategi tertentu. Strategi yang dicadangkan ialah T, K, F. Maksudnya ialah calon dikehendaki meneliti soalan karangan daripada tiga perkara, iaitu Tema (T), Kata kunci soalan (K) dan Format (F). Lihat soalan karangan contoh di bawah ini:
Soalan Contoh:
Dunia pada alaf baharu ini tercemar dengan beberapa siri peperagan. Banyak peperangan yang berlaku sama ada antara dua buah negara jiran mahupun negara kuasa besar dengan negara yang kecil. Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan yang akan timbul jika peperangan terus berlaku.
Ulasan:Sebelum menjawab soalan karangan ini, pelajar mestilah menentukan tema karangan tersebut. Karangan ini bertemakan peperangan (T= Peperangan). Kata kunci soalan karangan ini ialah Kesan (K= kesan), manakala format karangan ini ialah berformat umum, iaitu karangan jenis pendapat yang memerlukan perenggan pengenalan, perenggan isi dan penutup. (F= Pendapat/umum). Ringkasnya:
Tema
Peperangan
Kata Kunci
Kesan
Format
Pendapat /Umum
Selepas aspek ini ditentukan, barulah calon menulis rangka karangan tersebut seperti yang di bawah ini:
Rangka Jawapan:Isi:
Rakyat akan mengalami kehidupan yang menderita dan sengsara.
Tidak mendatangkan keuntungan kepada mana-manba pihak/kerugian- Kalah jadi abu menang jadi arang.
Membawa kemusnahan yang besar- padang jarak padang tekukur
Kehilangan Nyawa-
5. Keruntuhan Ekonomi
Penulisan Perenggan Pengenalan
Aspek yang seterusnya yang perlu diberikan perhatian oleh Calon ialah pengenalan seebuah karangan. Bagi karangan pendapat, fakta, rencana, huraian, perbincangan, dan sebagainya, format pengenalan yang dicadangkan adalah seperti yang berikut. Pengenalan karangan yang berformat umum seperti itu hendaklah mempunyai ayat rangsangan dan ayat arahan. Apakah ayat rangsangan?. Ayat rangsangan ialah ayat yang berkaitan dengan tema atau soalan karangan. Kebiasaannya, ayat (1) hingga ayat (4) pengenalan merupakan ayat rangsangan. Ayat yang akhir dalam perenggan pengenalan ialah ayat arahan (AA). Apakah ayat Arahan? Ayat arahan ialah ayat yang menjawab soalan karangan. Dalam ayat tersebut, terdapat kata kunci soalan. Ayat ini ialah ayat yang menjurus kepada kehendak karangan atau ayat yang menyatakan fokus utama perbincangan karangan. Ayat ini juga dapat membantu pemeriksa sama ada calon memahami atau tidak kehendak soalan. Karangan calon akan terpesong jika aspek ini tidak difahami oleh calon. Secara ringkasnya, perenggan pengenalan mempunyai bentuk seperti yang berikut:
Ayat 1
Ayat Rangsangan 1 (AR1)
Ayat 2
Ayat Rangsangan 2 (AR2)
Ayat 3
Ayat Rangsangan 3 (AR3)
Ayat 4
Ayat Rangsangan 4 (AR4)
Ayat 5
Ayat Arahan (AA)
Contoh Pengenalan:
(AR1)Dalam tempoh sepuluh tahun kebelakangan ini, peperangan telah berlaku di merata-rata kawasan di dunia ini. (AR2)Peperangan ini melibatkan negara-negara yang berjiran atau negara-negara yang mempunyai ideologi yang bertentangan. (AR3). Peperangan juga berlaku disebabkan sesetengah kuasa besar yang ingin menguasai negara kecil dengan tujuan kepentingan ekonomi atau memberikan amaran kepada negara lain. (AR4) Dalam akhir abad yang lalu, negara Bosnia telah berperang dengan negara Serbia, Amerika menyerang negara Afghanistan dan Irag, dan banyak lagi. (AA) Kesemua siri peperangan yang berlaku ini sebenarnya banyak menimbulkan kesan yang negatif baik kepada negara tersebut atau masyarakat dunia yang lain.
Penulisan Perenggan Isi
Selepas itu, pelajar hendaklah menulis perenggan isi berdasarkan isi yang dicatatkan sebelum itu. Dalam setiap perenggan, calon hendaklah menulis dan menghuraikan satu isi sahaja. Jika satu perenggan dimuatkan beberapa isi, perenggan ini akan dikatakan perenggan yang mempunyai isi yang tidak berkembang. Perenggan isi yang berkembang mestilah mempunyai satu ayat isi, dan beberapa jenis ayat yang lain.
Perenggan isi berbeza dengan perenggan pengenalan. Perenggan isi mempunyai ayat tertentu yang tidak sama dengan ayat dalam pengenalan. Perenggan isi mestilah mempunyai Ayat Judul (AJ), iaitu ayat isi. Kadagkala ayat ini juga dikenal sebagai Ayat Topik(AT). Dalam setiap perenggan isi, ayat judul mesti ada sama ada pada ayat pertama perenggan isi atau ayat kedua atau ayat ketiga. Ayat judul ini perlu dihuraikan supaya isi tersebut dapat difahami dengan jelas oleh pembaca atau pemeriksa. Ayat ini dikenal sebagai Ayat Huraian (AH). Ayat Huraian (AH) ialah ayat yang memberikan huraian lanjut tentang ayat isi. Dalam sesuatu perenggan isi, kemungkinan terdapat dua hingga tiga ayat huraian. Huraian ini bergantung pada sejauh manakah ayat huraian dapat membuat huraian yang jelas tentang isi perenggan tersebut. Ayat huraian ini dapat dibantu dengan kehadiran Ayat Contoh (AC). Ayat Contoh ialah ayat yang memperkukuh isi dan huraian yang dikemukakan. Ayat ini juga dikatakan sebagai ayat bukti. Selepas itu, perenggan isi hendaklah ditutup dengan kemas melalui Ayat Penegas (AP). Ayat Penegas ialah ayat kesimpulan kecil dalam setiap perenggan isi. Ayat Penegas hendaklah memberikan penegasan terhadap isi yang disampailam atau dibincangkan. Secara ringkasnya, binaan perenggan isi adalah seperti yang berikut:
Ayat 1 : Ayat Judul (AJ)
Ayat 2 : Ayat Huraian 1 (AH1)
Ayat 3 : Ayat Huraian 2 (AH2)
Ayat 4 : Ayat Huraian 3 (AH3)
Ayat 5 : Ayat Huraian 4 (AH4)
Ayat 6 : Ayat Contoh (AC)
Ayat 7 : Ayat Penegas.(AP)
Contoh:
Selain itu, peperangan antara negara juga akan membawa kesan yang buruk kepada rakyat negara yang terlibat. Rumah atau kediaman rakyat negara tersebut akan musnah. Hal ini akan menyebabkan rakyat negara yang berkenaan terpaksa mencari tempat perlindungan yang baru untuk meneruskan kehidupan mereka. Dalam hal ini, mereka akan menghadapi masalah bekalan air yang bersih, elektrik dan makanan yang berzat. Secara tidak langsung, kesihatan mereka juga akan terjejas. Sebagai contoh, kesihatan rakyat Iraq yang terjejas teruk akibat daripada peperangan pada tahun 2003 menyebabkan tercetusnya wabak taun dan demam kepialu terutamanya di Selatan Iraq. Tegasnya, rakyatlah yang menjadi mangsa utama dalam sesuatu perangan ibarat gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah.
Penulisan Perenggan Penutup
Selepas perenggan isi, karangan akan berakhir dengan perenggan penutup. Perenggan penutup karangan jenis ini juga mempunyai ayat-ayat yang tertentu. Sebagai contoh, ayat yang perlu dibina dalam perenggan penutup mestilah ayat yang berupa kesimpulan secara keseluruhan, ayat yang menyatakan pendirian atau pendapat, ayat yang berbentuk komen atau penilaian, dan sebagainya. Yang pasti ialah ayat-ayat yang terdapat dalam perenggan penutup bukan bentuk ayat yang terdapat dalam pengenalan atau perenggan isi. Secara ringkas, perenggan penutup mempunyai ayat-ayat seperti yang berikut:
Ayat 1
Ayat Kesimpulan umum
Ayat 2
Ayat pendapat
Ayat 3
Ayat komen
Ayat 4
Ayat Penilaian
Ayat 5
Ayat Penutup
Contoh:
Kesimpulanya, peperangan yang berlaku di mana-mana dunia ini semuanya banyak membawa kesan buruk baik kepada negara itu sendiri mahupun kepada negara lain. Oleh itu, setiap pihak atau negara yang berkenaan mestilah mencari jalan yang terbaik atau berunding supaya peperangan dapat dielakkan. Jika langkah ini tidak diambil, negara di seluruh dunia akan menghadapi masalah atau menerima kesan daripada peperangan tersebut. Peperangan merupakan kejadian yang sia-sia kerana peperangan ini tidak membawa kebaikan kepada mana-mana pihak seperti yang terungkap dalam pepatah Melayu “Kalah jadi abu, menang jadi arang”.
Monday, April 13, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment